PROTON Holdings Bhd akan melancarkan model gantian Proton Perdana, sama ada
pada Mac atau April ini yang akan menggunakan platform Nissan Fuga dengan
kapasiti enjin 2.5 liter.
Sumber industri berkata, bagaimanapun buat
permulaan model yang akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun itu hanya
dipasarkan khusus untuk kegunaan kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan.
“Sebagai permulaan, sebanyak 150 unit akan diimport dari Jepun dan ia dibawa
masuk khusus untuk kereta rasmi pegawai tinggi kerajaan, tetapi jika mendapat
maklum balas memberangsangkan daripada pasaran, PROTON akan menimbangkan untuk
memasarkannya secara komersial,” katanya pada Berita Harian di Kuala Lumpur,
baru-baru ini.
Fuga adalah kereta mewah Nissan yang menggunakan platform
Nissan FM. Ia mula diperkenalkan di Jepun pada Oktober 2004.
Nissan
Skyline, kereta sport mewah Nissan yang menjadi ‘kegilaan’ generasi muda Jepun
turut menggunakan platform Nissan FM.
Fuga bersaing dalam pasaran kereta
mewah eksekutif seperti Toyota Crown, Honda Legend, Mercedes-Benz E-class, Audi
A6, BMW 5 series dan Jaguar XF.
Ia adalah kereta pertama dunia yang
memperkenalkan teknologi sistem kawalan pedal bijak yang membantu pemandunya
mengawal jarak selamat dengan kenderaan lain ketika pemanduan sama ada di
kawasan bandar serta di lebuh raya.
Sumber itu berkata, penggunaan enjin
lebih berkuasa untuk model gantian Perdana itu bertujuan menaik taraf kereta
versi eksekutif dan premium PROTON ke tahap baru dan berupaya bersaing dengan
model seperti Toyota Camry, Honda Accord, Hyundai Sonata atau Kia Optima di
pasaran tempatan.
Katanya, selain untuk bersaing dalam kelasnya,
penggunaan enjin yang lebih berkuasa itu juga bertujuan membezakan penggunaan
enjin Proton Perdana dengan Proton Inspira yang turut menggunakan enjin 2.0
liter.
Sumber itu berkata, penggunaan Nissan Fuga itu menandakan
permulaan kerjasama antara PROTON dengan Nissan Motor Company Ltd, iaitu firma
automotif yang berpangkalan di Nishi-ku, Yokohama, Jepun.
“Ia (kerjasama
dengan Nissan) susulan pengambilalihan kepentingan dalam Renault F1 Team yang
dibuat PROTON menerusi anak syarikatnya, Group Lotus plc daripada Nissan yang
dimuktamadkan awal Disember lalu.
“Menerusi pengambilalihan itu, selain
membuka laluan buat PROTON terbabit dalam perlumbaan Formula Satu, ia turut
membantu mengetengahkan beberapa program kerjasama baru lain antara PROTON dan
Nissan, dan model penggantian Perdana adalah permulaan kerjasama antara
kedua-dua pengeluar kereta berkenaan,” katanya.
Katanya, permulaan itu
juga dijangka menjurus kepada kerjasama lebih serius di mana Nissan akan
menggunakan kemudahan pengeluaran Proton di Tanjong Malim untuk mengeluarkan
beberapa versi model lain tidak lama lagi, sekali gus membantu Proton
memaksimumkan kapasiti pengeluaran kilang berkenaan.
Wednesday, January 5, 2011
NISSAN FUGA ADALAH MODEL GANTIAN PROTON PERDANA - PROTON
Antara berita yang menarik aku terima adalah berkenaan model gantian bagi Proton Perdana, boleh baca berita yang aku qoute dibawah....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment